KOTA KINABALU: Seramai 122 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi 15 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang 20 hingga 26 November lalu.
Operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 333 individu di beberapa lokasi strategik di seluruh daerah bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa dokumen sah serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah yang ditahan, majoritinya merupakan warga Filipina iaitu seramai 91 orang.
Mereka terdiri daripada 24 lelaki dewasa, 37 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 29 warga Indonesia membabitkan tujuh lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Selain itu, dua lelaki dewasa warga Pakistan turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM Sabah menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my. -DRP
