KUANTAN: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah susulan serbuan di sebuah lif kediaman di Jalan Tanjung Lumpur, di sini, pada 25 November lalu.
Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu turut membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai RM187,529.18.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata, pemeriksaan awal terhadap suspek menemukan dua batang rokok yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 1.56 gram.
Hasil soal siasat kemudian membawa pasukan polis ke sebuah apartmen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
Pemeriksaan lanjut di lokasi itu menemukan pelbagai bahan disyaki dadah, termasuk serbuk dan ketulan ketamin seberat 61.75 gram, pil ekstasi seberat 9.07 gram serta serbuk MDMA dengan jumlah anggaran berat 7,428.49 gram.
Polis turut merampas cecair disyaki MDMA yang disimpan dalam beberapa botol minuman dengan jumlah keseluruhan anggaran isipadu 17.02 liter.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM187,529.18 dan sekiranya terlepas ke pasaran, bahan terlarang berkenaan dipercayai mampu memudaratkan sehingga 27,839 pengguna.
Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dan penjaga stor (storekeeper) dengan menerima bekalan dadah daripada seorang lelaki di Kuala Lumpur, selain menggunakan arahan yang diterima melalui aplikasi Telegram.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 26 November hingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, polis turut menjalankan siasatan di bawah Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988 yang membabitkan sebuah kenderaan milik suspek dengan anggaran nilai sitaan RM36,000.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM223,529.18.
Ashari berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, selain menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras gejala berkenaan demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.-DRP
