MANJUNG: Polis menerima enam laporan berhubung kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang dan cubaan pecah masuk rumah di sekitar Sitiawan serta Ayer Tawar, antara 26 hingga 27 November lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah bin Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu, dua laporan membabitkan kejadian samun berkumpulan manakala empat lagi berkaitan cubaan pecah masuk rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi modus operandi, dengan empat lelaki disyaki warga Indonesia dipercayai terbabit.
Katanya, suspek dipercayai memakai topeng muka, bersenjatakan parang dan memasuki rumah mangsa pada awal pagi sebelum mengikat penghuni kediaman.
“Suspek kemudian melarikan barangan berharga termasuk telefon bimbit, jam tangan, kasut serta wang tunai berjumlah RM20,000.” kata Hasbullah dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hasbullah berkata, usaha mengesan dan menangkap semua suspek sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung menerusi talian 05-688 6222 atau WhatsApp hotline 017-682 8005 bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing dengan memastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu mencegah kejadian jenayah.-DRP
