KUALA LUMPUR: Jurulatih Program Road To Gold (RTG), Sakchai Titajaree meninggal dunia di sebuah hotel di Thailand ketika dalam persiapan membimbing dua atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan dan Aznil Bidin bagi menghadapi Kejohanan Kelayakan Pertama Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Doha, Qatar yang akan berlangsung dari 4 hingga 11 Disember ini.
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menerusi kenyataan hari ini mengesahkan berita kematian Sakchai selain merakamkan penghargaan terhadap sumbangan besar beliau kepada sukan angkat berat di Malaysia dan Thailand.
Sakchai sebelum ini mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila pernah mengendalikan skuad kebangsaan Thailand serta membimbing atlet negara itu pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou dan Kejohanan Angkat Berat Asia 2023.
Beliau turut pernah bekerjasama dengan atlet angkat berat Olimpik Thailand, Duangaksorn Chaidee selain menerima Anugerah Jurulatih Sukan Amatur Terbaik Thailand 2025 yang disampaikan pada 4 Jun lalu.
Pelantikan Sakchai dalam program RTG sebelum ini membawa pengalaman luasnya ke dalam kem kebangsaan ketika Malaysia memperhebat persiapan memburu kejayaan pada LA28.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menyifatkan pemergian jurulatih itu sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada Malaysia dan Thailand, malah komuniti angkat berat antarabangsa.
Baginya, dedikasi serta komitmen Sakchai terhadap atlet negara amat dihargai, malah beliau terus melaksanakan tanggungjawabnya sehingga ke akhir hayat.
“Terima kasih, jurulatih Sakchai atas segala ilmu, khidmat dan pengorbanan yang diberikan kepada Malaysia. Pemergian anda amat dirasai, sumbangan anda tidak akan dilupakan dan legasi anda akan terus hidup dalam sukan angkat berat,” katanya.
Untuk makluman, pemergian jurulatih kelahiran Thailand itu menambah duka buat kem angkat berat negara selepas atlet negara, Hafizuddin Roslin terbabit dalam kemalangan motosikal minggu lalu sehingga tangan kanannya terpaksa dipotong, sekali gus menamatkan kariernya dalam sukan berkenaan.
Kredit sumber: Berita Harian
