Editorial
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan telefon (phone scam) yang dipercayai menyamar sebagai pegawai polis New York (NYPD) menerusi serbuan di sebuah unit kediaman di Bukit Ceylon, di sini, 24 November lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Hj Ahmad Azwan Hj Amin Nordin berkata, operasi kira-kira jam 5 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi dengan kerjasama Cawangan Khas serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Dang Wangi.
Hasil serbuan, seramai 11 individu warga asing berusia antara 22 hingga 51 tahun ditahan.
Mereka terdiri daripada warganegara Afrika Selatan, Taiwan, Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.
Polis turut merampas 31 telefon bimbit, tujuh komputer riba, sebuah monitor, sebuah unit pemprosesan komputer (CPU), tiga pasang pakaian seragam polis NYPD serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan forensik digital mendapati sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa di Amerika Syarikat dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai polis.
Sindiket berkenaan dipercayai memperdaya mangsa menerusi dakwaan kononnya mereka terbabit dalam kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram.
Kejayaan itu merupakan hasil tindakan proaktif serta kerjasama bersepadu antara bahagian dan cawangan di IPD Dang Wangi dalam membanteras jenayah komersial.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penipuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.-DRP
