SEREMBAN: Seramai 13 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbakar ketika melalui Kilometer 244.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, tengah hari pada rabu.
Kejadian kira-kira jam 11.58 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Yatim Hj Osman berkata, bas bernombor pendaftaran WSD 9442 itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Melaka bagi membawa kakitangan KKM berkenaan bersama seorang pemandu untuk menghadiri kursus selama dua hari.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, saksi dipercayai terdengar bunyi letupan sebelum pemandu memberhentikan bas untuk melakukan pemeriksaan.
“Pemandu mendapati tayar belakang sebelah kiri bas telah terbakar sebelum cuba memadamkan api, namun usaha itu tidak berjaya dan bantuan kecemasan kemudian dihubungi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian, sepasukan anggota daripada Unit Siasatan Lebuhraya dan Balai Polis Senawang digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut tiba bagi menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah jentera tanker membabitkan lapan anggota.
Kebakaran berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Mohd Yatim berkata, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-DRP
