RANAU: Laluan jalan raya di Kampung Sagindai Lama, Ranau kini dibuka secara sehala dan boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan susulan kejadian yang menjejaskan kawasan berkenaan.
Pemantauan serta kawalan keselamatan masih diteruskan oleh Bilik Gerakan dengan bantuan anggota Pondok Polis Paginatan menerusi rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV). Kawalan lalu lintas turut dilaksanakan oleh MENTA dengan sokongan lima anggota Polis Bantuan dari Sabah Electricity, Kota Kinabalu bagi memastikan pergerakan kenderaan berjalan lancar.
Dalam perkembangan sama, pihak Sabah Electricity sedang menjalankan usaha membuka kabel elektrik yang terjatuh di kawasan berkenaan. Setakat ini, keadaan lalu lintas dilaporkan terkawal dan pergerakan kenderaan berjalan lancar dengan penggunaan laluan sehala.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud menasihatkan penduduk setempat khususnya pengguna jalan raya supaya terus bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengikuti arahan anggota bertugas di lokasi kejadian.
Beliau turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah berkenaan terus terpelihara.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas dan memberikan kerjasama kepada petugas yang menjalankan kawalan di lapangan. – DRP
