PETALING JAYA: Sebanyak 86 unit basikal elektrik yang disyaki dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import dan kelulusan SIRIM Berhad dirampas dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Lembah Klang.
Rampasan itu dilakukan menerusi Ops Piawai E-Mobiliti yang dijalankan selama empat hari, bermula 27 hingga 30 Oktober lalu, membabitkan pemeriksaan di sembilan premis.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, basikal elektrik berkenaan dipercayai diimport dalam keadaan dileraikan sebelum dipasang semula bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, operasi bersepadu bersama SIRIM Berhad itu bertujuan membanteras aktiviti pengimportan dan penjualan basikal elektrik yang tidak memenuhi syarat serta piawaian ditetapkan.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM268,279, termasuk duti dan cukai berjumlah RM56,701.
“Sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka, manakala sembilan wakil syarikat telah dipanggil untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati basikal elektrik berkenaan disyaki diimport tanpa mematuhi syarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di sini.
Bagaimanapun, katanya, kaedah sebenar pengimportan masih dalam siasatan, termasuk kemungkinan basikal elektrik berkenaan dipasarkan melalui platform jualan dalam talian.
Dalam perkembangan berkaitan, wakil SIRIM menjelaskan bahawa pengujian basikal elektrik dilaksanakan berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan aspek keselamatan kenderaan berkenaan dipenuhi demi melindungi pengguna.
Basikal elektrik terbabit tertakluk kepada larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.-DRP
