TENOM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan projek pembangunan komuniti dan pendidikan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Melalap.
Inisiatif itu dilancarkan menerusi satu majlis di Dewan Terbuka Kampung Langsat, Melalap, hari ini yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Puan Ainah Mohd Soon, mewakili Menteri Dalam Negeri.
Antara kemudahan yang telah disiapkan termasuk Dewan Terbuka Kampung Langsat serta kemudahan rumah ibadat.
Turut dilaksanakan ialah kerja naik taraf dan penyelenggaraan Sekolah Kebangsaan Melalap yang merangkumi penambahbaikan bilik darjah, bilik sains, bilik komputer, pusat sumber serta kemudahan asas sekolah.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk sukaneka rakyat dan gotong-royong bagi menggalakkan penglibatan penduduk setempat.
Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan usaha agensi berkenaan menyahut seruan Perdana Menteri supaya program yang mendekati rakyat dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti terus dilaksanakan.
Menurutnya, tanggungjawab AKPS bukan sahaja tertumpu kepada aspek keselamatan sempadan negara, malah turut merangkumi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.-DRP
