Editorial
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat terus membudayakan sukan sebagai usaha membina masyarakat yang sihat, berdisiplin serta memiliki kekuatan moral dan jati diri.
Beliau berkata, sukan bukan sekadar aktiviti untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental, malah berperanan penting dalam membentuk keperibadian serta menyatukan rakyat.
Menurutnya, perkara itu dizahirkan menerusi penyertaan ribuan rakyat pelbagai usia dan latar belakang dalam sambutan tahunan Hari Sukan Negara di Litar Antarabangsa Sepang, pagi tadi.
Anwar yang berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook turut mengimbas pengalamannya ketika menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan, dengan menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha memajukan industri sukan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, seluruh rakyat perlu berganding bahu menjayakan penganjuran Sukan SEA tahun depan, khususnya dengan menyatukan golongan muda pelbagai kaum menerusi semangat kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia.
Seiring usaha memperkukuh pembangunan sukan negara, Anwar turut meluncurkan Pelan Industri Sukan Negara bagi membangunkan ekosistem sukan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Inisiatif itu juga bertujuan mengangkat industri sukan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berharap pembudayaan sukan terus diperkasakan sebagai wadah membina rakyat yang sihat, bersatu padu dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.-DRP
