Editorial
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang menjejaskan lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan runtuhan sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.
Beliau berkata, gangguan bekalan elektrik itu telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk, khususnya dalam urusan harian termasuk pelajar yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, Sabah Electricity perlu mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau turut meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan serta kemudahan awam kritikal.
Anwar berkata, meskipun bencana mungkin sukar dielakkan, kecekapan dan kepantasan tindakan pihak bertanggungjawab amat penting bagi mengurangkan tempoh rakyat terpaksa menanggung kesannya.
“Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan kepentingan tindakan pantas dan penyelesaian segera bagi memastikan kehidupan masyarakat yang terjejas dapat kembali pulih seperti sediakala.
— DAKWAT RAKYAT POST
