OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Gangguan bekalan elektrik berpanjangan susulan insiden menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau, Khamis lalu, bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian masyarakat, malah memberi kesan langsung terhadap industri pelancongan di Pantai Timur Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsurezal Mohd Sainal berkata, sektor pelancongan antara industri yang menerima tempias susulan gangguan bekalan elektrik yang kini memasuki hari ketiga.
Katanya, keadaan itu menjejaskan kelancaran operasi pemain industri pelancongan termasuk memberi kesan kepada pengalaman pengunjung dan aktiviti ekonomi di kawasan terbabit.
“Sudah pasti apabila berlaku bencana seperti ini, impaknya kepada industri pelancongan turut dirasai. Apabila tiada bekalan elektrik selama beberapa hari, sektor pelancongan antara yang terkesan.
“Saya berharap projek Sabah Southern Link Madani Fasa 1B yang menghubungkan Ulu Padas ke Kalabakan dapat diluluskan dalam masa terdekat kerana kita tidak mempunyai pilihan sokongan lain apabila berlaku gangguan bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sukan Muhibbah dan Hari Keluarga Wisma Persekutuan Tawau, di sini, hari ini.
Andi Md Shamsurezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, kejadian sama pernah berlaku pada tahun lalu dan berulang lagi tahun ini, sekali gus memperlihatkan pentingnya penyelesaian jangka panjang bagi mengelak sektor ekonomi terus terjejas.
Jelasnya, beberapa pejabat di Tawau terpaksa ditutup sejak beberapa hari lalu akibat ketiadaan bekalan elektrik, manakala sektor perniagaan dan industri turut berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi.
Katanya, kestabilan bekalan elektrik bukan sahaja penting untuk kesejahteraan penduduk, malah menjadi antara keperluan asas bagi memastikan industri pelancongan terus berkembang dan beroperasi dengan lancar.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen Sabah tanpa mengira parti politik supaya bersama-sama membawa permohonan kelulusan projek Southern Link Madani Fasa 1B ke Dewan Rakyat.
“Kita memerlukan tindakan segera daripada kerajaan Persekutuan dan negeri. Perkara ini perlu diangkat oleh semua wakil rakyat di Parlimen supaya ada kerjasama untuk memastikan projek berkenaan diluluskan.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada pelan kecemasan semata-mata. Perancangan jangka panjang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan impak negatif setiap kali bencana berlaku,” katanya.-DRP
