OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN & SALAM UNDONG
TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta agar mempercepat pelaksanaan Fasa 1B Projek Sabah Southern MADANI Link yang dianggarkan menelan belanja RM1.4 bilion susulan gangguan bekalan elektrik berskala besar yang berulang di Pantai Timur Sabah.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan bagi jajaran dari Upper Padas ke Tawau itu perlu segera diluluskan tanpa menunggu Fasa 1A siap pada September 2028.
Beliau berkata, pelaksanaan segera bagi kedua-dua fasa dalam tempoh hampir sama dijangka dapat melengkapkan rangkaian grid bekalan elektrik negeri.
“Saya fikir kita tidak wajar untuk tunggu lagi siapnya 1A baru buat 1B. Ia perlu segera diputuskan.
“Kerajaan Persekutuan, kita rayu sangat-sangat supaya memutuskan segera peruntukan untuk Fasa 1B supaya ia boleh mula dilaksanakan segera, supaya tarikh siap pun lebih kurang sama dengan Fasa 1A,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Kampung Pasir Putih, di sini, hari ini.
Armizan berkata, gangguan yang memasuki hari keempat itu membabitkan lapan daerah dan menjejaskan lebih 150,000 keluarga selepas berlakunya kejadian menara penghantaran elektrik di Ranau runtuh.
Katanya, kejadian itu memerlukan perhatian serius berikutan insiden seumpamanya berulang dalam tempoh hanya 15 bulan sejak September 2025, dengan kesan besar terhadap urusan harian rakyat termasuk aktiviti ekonomi.
“Kita tahu puncanya adalah bencana alam. Walaupun begitu, kita perlu mengambil perhatian yang serius dengan mengambil tindakan dan memutuskan apakah langkah jangka panjang yang perlu dilakukan,” katanya.
Jelasnya lagi, penghantaran bekalan elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur ketika ini hanya bergantung kepada East-West Link menyebabkan gangguan pada laluan berkenaan memberi kesan kepada pengguna di kawasan terbabit.
“Itu sebab kita telah kenal pasti bahawa perlu dilengkapkan grid ini dengan membina transmission line di kawasan selatan Sabah,” katanya.
Armizan berkata, susulan permohonan kerajaan negeri bersama Sabah Electricity, Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluluskan pinjaman mudah bagi pelaksanaan Fasa 1A projek berkenaan.
Katanya, fasa itu membabitkan jajaran sepanjang 60 kilometer dari Mengalong, Sipitang ke Upper Padas yang bermula pada September 2025 dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, keputusan berhubung peruntukan Fasa 1B bagi menyambungkan jajaran dari Upper Padas ke Tawau masih belum dibuat.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah mengusulkan Southern Link sebagai pengganti Projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) sejak 2021 kerana melihat projek berkenaan lebih kritikal kepada Sabah.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan ketika kerajaan negeri dirunding bagi menghidupkan semula TSGP yang dibatalkan pada 2018 berikutan isu berkaitan pengurusan, pelaksanaan dan pembayaran.
“Kerajaan Negeri Sabah telah mengusulkan supaya digantikan projek TSGP itu, tidak payah dihidupkan semula tetapi digantikan dengan projek Southern Link. Tetapi nampaknya tidak ada keputusan,” katanya.
Beliau berkata, susulan pengumuman kelulusan Skim Bekalan Air Perak Utara sebagai pengganti TSGP dan Multi-Product Pipeline (MPP), pertimbangan sama sewajarnya diberikan kepada projek yang memanfaatkan Sabah.
“Seharusnya ada juga projek gantian yang memanfaatkan Sabah.
“Kalau di Perak boleh diluluskan sebagai gantian, maka projek Sabah Southern MADANI Link Fasa 1B ini adalah projek yang cukup kritikal dijadikan projek gantian,” katanya.
Armizan berkata, sebahagian peruntukan projek TSGP dan MPP sebelum ini adalah untuk Sabah, justeru beliau merayu supaya keperluan negeri itu turut diberikan pertimbangan menerusi kelulusan Fasa 1B.
26 November lalu, menara penghantaran elektrik T313 di Ranau tumbang dan menjejaskan kedua-dua litar penghantaran bekalan elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah.-DRP
