KLUANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian cubaan mencederakan seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak berusia dua tahun di hadapan sebuah kedai runcit di Simpang Renggam, Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan media memaklumkan, tangkapan itu dilakukan susulan video berdurasi 31 saat yang tular di Facebook menerusi laman This Is Johor, memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal melanggar seorang lelaki bersama kanak-kanak di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Emas 1, Taman Usaha Jaya, Simpang Renggam.
Menurut kenyataan itu, pihak IPD Kluang mengesan video berkenaan pada 27 November 2026 kira-kira jam 9.45 pagi sebelum maklumat kejadian direkodkan melalui laporan maklumat pertama di Simpang Renggam dengan nombor repot 7610/2026.
Hasil siasatan mendapati, suspek yang menunggang motosikal dalam rakaman tersebut dipercayai telah melanggar motosikal mangsa sebelum cuba mencederakan lelaki berkenaan bersama seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan suspek pada 28 November 2026 kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di Lorong 3, Jalan Jelawat, Simpang Renggam.
Semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Permohonan reman terhadap suspek dibuat pada 29 November 2026 di Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan selama dua hari bermula 29 hingga 30 November 2026 bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang menerusi talian 07-7784222, talian hotline 07-7766822 atau talian terus 07-7784256. – DRP
