KOTA KINABALU: Seramai 883 penduduk daripada 295 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda tiga daerah di Sabah setakat jam 8 pagi hari ini.
Berdasarkan laporan perkembangan harian bencana negeri Sabah yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC), daerah terlibat ialah Nabawan, Sook dan Beaufort dengan sembilan kampung dikenal pasti terjejas.
Nabawan merekodkan seramai 267 mangsa daripada 103 KIR, manakala Sook mencatatkan 308 mangsa melibatkan 83 KIR.
Sementara itu, Beaufort turut merekodkan 308 mangsa daripada 109 KIR.
Kesemua mangsa terjejas dilaporkan ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Di Nabawan, Dewan Gereja SIB Salarom Baru menjadi lokasi penempatan mangsa, manakala di Sook, dua PPS yang dibuka ialah Dewan Masyarakat Sook dan Dewan Gereja St. Petrus.
Bagi daerah Beaufort pula, mangsa ditempatkan di Dewan DSP DUN Banir.
Laporan berkenaan turut memaklumkan tiada kematian direkodkan setakat ini, selain tiada laporan penduduk terjejas yang terkepung atau berada di luar PPS.
Pihak berkuasa terus melaksanakan pemantauan secara berterusan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terlibat dalam bencana berkenaan. – DRP
