NABAWAN: Seramai tiga mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Pamunterian, Nabawan, petang semalam.
Dalam kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang, 28 November, sebelum sembilan anggota bomba digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.22 petang dan mendapati beberapa mangsa terjejas akibat kejadian banjir.
Operasi pemindahan dilaksanakan menggunakan sebuah bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membawa kesemua mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Gereja SIB Salarom Baru.
Kesemua tiga mangsa berjaya dipindahkan ke PPS berkenaan dalam keadaan selamat.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II Azran Jull itu melibatkan sembilan anggota bersama sebuah kenderaan Triton, sebuah lori serta sebuah bot NADMA.
Operasi pemindahan selesai pada jam 3.32 petang selepas pihak bomba memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.
Pemantauan di kawasan terjejas akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan terkawal. – DRP
