Editorial
GUA MUSANG: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada pagi semalam, yang turut membawa kepada penemuan beberapa peralatan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi melalui Kaunter Aduan Trafik Gua Musang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Nissan Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 56 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai mengelak sebelum bergesel dengan sebuah Toyota Estima yang sedang memotong dari arah bertentangan.
“Akibat pergeselan tersebut, pemandu Nissan Grand Livina hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan konkrit.
“Pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Estima telah meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kemalangan turut menemukan beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah.
Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 12(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 167/59), iaitu kesalahan memotong di garisan berkembar.
“ Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan pemandu Toyota Estima yang terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-912 1222.-DRP
