OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Sabah Electricity berjaya menyiapkan pembinaan Emergency Restoration System (ERS) dan menyambung kesemua konduktor lebih awal daripada jadual ditetapkan bagi memulihkan talian penghantaran elektrik yang terjejas di pantai timur Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejayaan itu hasil komitmen dan kesungguhan pasukan Sabah Electricity sepanjang kerja pemulihan dijalankan.
“Lebih penting, kerja-kerja berkenaan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Sabah Electricity atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan yang dialami rakyat sepanjang gangguan bekalan itu dan menghargai kesabaran, sokongan termasuk kerjasama penduduk yang terjejas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang membantu kerja pemulihan talian penghantaran elektrik berkenaan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Air Aviation Sdn. Bhd, pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sagindai Baru serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah atas bantuan mereka.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.
Terdahulu, kejadian menara penghantaran elektrik runtuh di Ranau menyebabkan gangguan bekalan yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna di lapan daerah di pantai timur Sabah.
Susulan kejadian itu, set janakuasa bergerak tambahan dari luar pantai timur Sabah mula tiba seawal pukul 4 pagi pada 27 November lalu bagi membolehkan bekalan disalurkan kepada lebih banyak kemudahan penting, termasuk hospital, sekolah, ibu pejabat polis daerah dan loji rawatan air. – DRP
