PUTRAJAYA, 29 November 2026 – Usaha memperkukuh hubungan kekeluargaan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus diberi perhatian menerusi penganjuran Program Sesi Townhall dan Pemantapan Sinergi Bersama Pengurusan Tertinggi dan Warga KDN Tahun 2026.
Program yang berlangsung di Padang Semarak Wetland, Putrajaya itu membawa tema ‘Kasih Keluarga, Jiwa Negara’ sebagai pendekatan untuk merapatkan hubungan antara kepimpinan kementerian, warga kerja serta ahli keluarga.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Datuk Norhayati Musa.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Dato’ Makhzan Mahyuddin serta barisan pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah kementerian berkenaan.
Penganjuran program itu menjadi ruang untuk mempererat hubungan silaturahim selain membina persefahaman dan meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan warga KDN.
Selain sesi townhall bersama pengurusan tertinggi, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka dan kekeluargaan yang melibatkan warga kementerian serta ahli keluarga masing-masing.
Pengisian tersebut bukan sahaja mewujudkan suasana mesra antara peserta, malah membuka peluang kepada barisan kepimpinan dan warga kerja untuk berinteraksi dalam suasana santai di luar persekitaran tugas rasmi.
Menerusi penganjuran berteraskan tema ‘Kasih Keluarga, Jiwa Negara’ itu, KDN terus memberi penekanan terhadap kepentingan hubungan kekeluargaan, kerjasama berpasukan dan semangat kebersamaan sebagai asas memperkukuh sinergi dalam organisasi. – DRP
