KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi sungai di Kampung Simpangan, Kota Marudu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak dikenali sebagai Mohammad Sha Aidil Al Razzaq, kira-kira jam 10.21 pagi, 29 November 2026.
Menurut beliau, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Seronsob, Kota Marudu, kira-kira jam 5 petang pada 28 November 2026, namun masih belum pulang sehingga laporan polis dibuat.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilihat cuba menyeberangi Sungai Kampung Simpangan, kira-kira jam 5.30 petang pada hari kejadian sebelum dihanyutkan arus.
Susulan kejadian itu, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan LemÂmeh Duping menerusi talian 016-3312786 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu di talian 088-662449. – DRP
