Editorial
CAMERON HIGHLANDS: Seramai 75 warga asing pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar daerah Cameron Highlands, di sini, baru-baru ini.
Operasi yang diketuai Pengarah Imigresen Negeri Pahang, Nursafariza Ihsan itu menyaksikan seramai 572 individu diperiksa bagi mengesan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Operasi berkenaan turut melibatkan Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Pahang, Doni Che Zin, dengan kekuatan keseluruhan 150 pegawai daripada JIM Pahang, Pasukan Gerakan Am (PGA), JIM Negeri Terengganu dan JIM Negeri Sembilan.
Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian individu disyaki melakukan kesalahan termasuk gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja serta tinggal lebih masa di negara ini.
Kesemua 75 individu yang ditahan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Kemayan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, JIM Pahang menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan.
Jabatan itu turut menegaskan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI, termasuk mana-mana pihak yang didapati menggaji atau melindungi mereka.-DRP
