Kedua-dua bot nelayan terbabit dirampas untuk siasatan lanjut.
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pukat jerut bilis selepas didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Kedua-dua bot berkenaan ditahan kira-kira jam 3.30 petang oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0 di lokasi sekitar 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata pasukan operasi mengesan kedua-dua bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan terbabit sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah daripada bot dikendalikan tiga warga tempatan berusia antara 21 hingga 33 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan seorang warga Filipina berusia 52 tahun bersama dua kru tempatan berusia 24 hingga 44 tahun.
“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua bot itu melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot bersama kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan semua aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang serta bagi menjaga kelestarian sumber marin negara.
“Maritim Malaysia sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang laut dan memastikan hak serta sumber nelayan pesisir tidak terjejas,” katanya.
Beliau turut menyeru komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
