KUALA LUMPUR : Parti Wawasan Negara (WAWASAN) hari ini mengumumkan barisan 160 Ketua Bahagian Penaja WAWASAN yang akan memikul tugas mengurus hal ehwal parti itu di semua bahagian dan negeri.
Satu majlis penyampaian watikah berlangsung di sini, petang tadi, disempurnakan oleh Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan turut dihadiri pimpinan parti berkenaan.
Pada majlis itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut dinamakan sebagai Ketua Bahagian Penaja WAWASAN Machang.
Turut menerima watikah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Pasir Salak); Fathul Huzir Ayob (Gerik) serta Saifuddin menerajui kepimpinan WAWASAN Indera Mahkota.
Selain itu, ADUN Bemban yang juga Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menerajui WAWASAN Bahagian Jasin, sementara Muhammad Fadhli Ismail di Bahagian Tambun.
Pada Jun lalu, Pengasas Gerakan RESET yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penubuhan WAWASAN di Tanah Merah, Kelantan.
Bekas Timbalan Presiden BERSATU itu menyifatkan penubuhan WAWASAN seiring gerakan menyempurnakan gagasan Konsensus Nasional Baharu.
Sementara itu, Naib Presiden WAWASAN, Wan Saiful Wan Jan pula menyifatkan pengumuman barisan kepimpinan bahagian itu satu pencapaian amat membanggakan, sekali gus membuktikan bahawa struktur organisasi WAWASAN semakin kukuh di peringkat akar umbi.
“Setiap bahagian penaja kini menggalas amanah besar untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli dalam jangka masa yang ditetapkan serta menubuhkan cawangan berasaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen masing-masing bagi memastikan jentera pilihan raya berada dalam keadaan siap sedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, pelantikan bagi Ketua Wanita dan Pemuda Bahagian pula akan disempurnakan sedikit masa lagi bersama presiden.
“WAWASAN terus komited membawa imej berwajah Malaysia dengan meraikan kepelbagaian demografi rakyat setempat.
“Barisan kepimpinan penaja yang dilantik hari ini bukan sahaja merangkumi tokoh korporat, ahli akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan aktivis NGO, malah turut diserikan dengan kemunculan muka-muka baharu yang segar dalam arena politik,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 28 Ogos 2026
