LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah ketika serbuan Op Tapis dalam kawasan ladang di Jalan Lahad Datu–Kunak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu di sebuah pondok yang dipercayai dijadikan lokasi pengedaran dadah.
Menurut beliau, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan enam paket disyaki syabu seberat 57.01 gram bersama alat menghisap dadah yang telah diubah suai serta gunting yang disimpan dalam beg silang berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM6,271.10.
Sementara itu katanya, suspek kedua tidak memiliki sebarang barang salah, namun hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC135 bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek berusia 25 dan 36 tahun, bekerja sebagai buruh serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
