KOTA KINABALU: Isu kekurangan tenaga kerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan operasi jabatan itu terus berjalan lancar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Haji Aliasnih berkata keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia sudah menjadi masalah lama yang memerlukan tindakan segera.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika menghadiri taklimat JHEAINS di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah hari ini.
Menurut Isnin, kekurangan kakitangan di peringkat daerah serta jumlah guru yang tidak mencukupi di Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Negeri merupakan antara cabaran utama yang dibangkitkan dalam sesi tersebut.
Beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan isu berkenaan ditangani dengan sewajarnya dan memaklumkan bahawa keperluan penambahan sekolah menengah agama turut diberi perhatian memandangkan jumlah pelajar semakin meningkat setiap tahun.
Isnin berkata peningkatan permintaan terhadap pendidikan agama memerlukan penambahan institusi serta tenaga pengajar agar keperluan masyarakat dapat dipenuhi.
Menurut beliau, perkara ini akan diteliti dan tindakan susulan akan diambil bagi memperkukuh peranan JHEAINS dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat Sabah.
