Syauqi Ibnihajar
KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda UMNO mempersoalkan pendirian kepimpinan parti susulan keputusan mahkamah yang menolak titah addendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung pengurangan hukuman penjara dan tahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata keputusan itu mengecewakan ramai ahli parti, apatah lagi selepas hampir dua tahun proses berkaitan titah addendum tersebut dibincangkan sebelum dimuktamadkan di mahkamah.
Menurut beliau, tempoh yang panjang hanya digunakan untuk menentukan sama ada titah tersebut wujud atau tidak, sekali gus membazirkan masa dan sumber banyak pihak.
“Lebih mendukacitakan apabila ada pemimpin daripada DAP dilihat meraikan keputusan mahkamah itu sebagai sebahagian ‘perayaan hujung tahun’, satu tindakan yang tidak menghormati perasaan ramai ahli UMNO,” katanya.
Syauqi turut menyentuh peranan sebahagian pemimpin UMNO yang sebelum ini dilihat berdolak-dalih serta meragui kewujudan titah addendum tersebut walaupun pernah menikmati kedudukan politik ketika era pentadbiran Najib.
Beliau turut menyokong gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh agar kepimpinan tertinggi parti memberi perhatian serius terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan sekarang.
“Semasa memerlukan kuasa, mereka datang kepada kita dan menerima syarat kita. Namun selepas memegang kuasa, pelbagai institusi digunakan untuk menekan kita,” katanya sambil merujuk perkembangan politik mutakhir termasuk di Sabah.
Syauqi turut menegaskan bahawa pengampunan diraja adalah kuasa sah YDPA, Sultan serta Yang Dipertua Negeri dan pernah diberikan dalam kes-kes berat sebelum ini, justeru isu Najib tidak seharusnya dilayan seolah-olah berada di luar pertimbangan.
Beliau berkata UMNO perlu menilai semula hala tuju parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk meneliti polisi kerajaan yang kini turut memberi kesan kepada imej parti.
“UMNO bukan parti kecil yang hanya bergantung kepada parti lain. Kita perlu mengembalikan maruah parti keramat, kembali menjadi parti yang disenangi rakyat dan memperjuangkan agama, bangsa serta negara,” tegasnya.
Syauqi turut mengingatkan bahawa sejarah sering menunjukkan pemimpin yang melupakan jasa tokoh terdahulu akhirnya tidak berakhir dengan baik dalam perjalanan politik mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan mahkamah yang diumumkan semalam mengenai isu titah addendum berhubung hukuman penjara bekas Perdana Menteri tersebut.
