TAWAU,Program Penutup Gelanggang Silat Gayong Panji Alam bagi Sesi 2025 peringkat Pantai Timur Sabah berlangsung meriah di Dewan SMK Titingan, di sini semalam dengan kehadiran ratusan pesilat, jurulatih serta ibu bapa.
Majlis penutup disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan yang menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai simbol kekuatan warisan seni Melayu serta platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berakhlak.
Beliau berkata, Silat Gayong Panji Alam yang telah bertapak di Tawau sejak beberapa dekad lalu bukan sahaja berfungsi sebagai seni mempertahankan diri, malah menjadi medium memperkasakan jati diri, membina sahsiah serta memupuk nilai patriotisme dalam kalangan belia.
“Silat Gayong Panji Alam berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek di samping memastikan khazanah seni warisan bangsa terus dipelihara dan diwarisi generasi masa depan,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program seumpama ini turut mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat, selain menyokong agenda pembangunan belia negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru silat, jurulatih, pendekar serta pencinta seni bela diri yang terus komited memastikan seni warisan ini kekal relevan dan berkembang di Pantai Timur Sabah.
Program tersebut turut disertai pelajar sekolah, belia setempat serta komuniti silat dari pelbagai peringkat.
