LAHAD DATU: Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah selepas terlibat dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Cina, Jalan Bakawali, di sini, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan JBPM Sabah hari ini, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.38 petang dengan jarak kira-kira dua kilometer dari balai, dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan anggaran 35 x 50 kaki yang terbakar kira-kira 90 peratus.
Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, memanfaatkan sumber air daripada jentera bomba, air terbuka serta pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.52 petang dan operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang selepas pasukan memastikan keadaan selamat serta tiada risiko bahaya lain di lokasi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Turut berada di lokasi kejadian ialah agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity bagi tujuan keselamatan serta kawalan kawasan.
