KOTA KINABALU, 31 Disember – Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja mengecat di sebuah rumah di Lot 21 Phase 3 Kampung Likas, di sini pagi semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3 kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang diketuai PBK I Mohd Hasrulnizam Mohd Zain tiba di lokasi pada jam 10.09 pagi.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an, terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja mengecat di bahagian luar rumah.
“Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk melecur dan putus pergelangan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu pasukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM.
Tiada risiko bahaya susulan ditemui selepas kawasan operasi dipastikan selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi.
