Screenshot
Pihak berkenaan khususnya Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) digesa agar segera mengambil perhatian serius terhadap isu ketiadaan hakim tetap yang memiliki tauliah di Mahkamah Syariah Tawau.
Aktivis masyarakat Sabah, Hj. M. Ridzal berkata, isu berkenaan telah lama berlarutan sehingga menimbulkan kesulitan besar kepada penduduk dari daerah Lahad Datu, Felda Sahabat, Semporna dan Kunak yang terpaksa menempuh jarak jauh untuk berurusan dengan mahkamah berkenaan.
Menurut beliau, walaupun seorang hakim telah dihantar untuk bertugas di Mahkamah Syariah Tawau, namun sehingga kini tauliah masih belum diberikan selepas hampir dua bulan, sekali gus menyebabkan hakim tersebut tidak dapat mendengar kes Mahkamah Tinggi Syariah.
“Keadaan ini menyebabkan banyak kes tertangguh kerana menunggu untuk dibicarakan akibat ketiadaan hakim yang bertauliah. Ada kalanya mahkamah terpaksa menggunakan khidmat hakim dari luar kawasan seperti Sandakan dan Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan memandangkan Tawau merupakan antara daerah terbesar di Sabah, dengan urusan berkaitan kekeluargaan dan agama yang tinggi, selari dengan demografi Pantai Timur Sabah yang majoritinya beragama Islam.
Katanya, kelewatan menyelesaikan isu tersebut memberi kesan langsung kepada kepentingan awam, khususnya melibatkan kes kes yang memerlukan penyelesaian segera seperti kes anak angkat, harta pusaka serta urusan keluarga Islam yang lain.
“Saya berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi memastikan kelancaran sistem kehakiman Syariah serta keadilan dapat ditegakkan tanpa penangguhan yang berpanjangan,” katanya.
