SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 1/2026 bagi kategori usir melalui laut melibatkan pemindahan warganegara Filipina dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Binti Habib Yussoff berkata, program berkenaan melibatkan seramai 844 orang tahanan warganegara Filipina yang dihantar pulang dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau.
Menurut beliau, tahanan terdiri daripada 519 lelaki dewasa, 215 perempuan dewasa, 92 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta 18 bayi berumur 23 bulan ke bawah, dengan lingkungan umur antara dua bulan hingga 72 tahun.
“Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam pemindahan ini dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing melalui laluan laut menggunakan Vessel MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sitti Saleha turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan, seramai 858 orang warganegara asing telah berjaya dipindahkan ke negara asal sejak awal tahun 2026.
Jumlah itu melibatkan 850 warganegara Filipina, enam warganegara Pakistan, serta masing-masing seorang warganegara Vietnam dan China, melalui pengangkutan laut dan udara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi pendatang asing tanpa izin,” katanya.
— TAMAT —
