SANDAKAN: Seramai 22 individu termasuk sembilan kanak-kanak ditahan dalam Operasi Bersepadu Pengemis dan Gelandangan yang dijalankan di sekitar Pusat Bandar Sandakan, hari ini.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan kerjasama Polis Daerah Sandakan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
MPS dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah yang ditahan, 13 merupakan orang dewasa manakala sembilan lagi adalah kanak-kanak.
“Seramai sembilan individu bukan warganegara telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut, manakala selebihnya diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Menurut MPS, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan bersama agensi penguatkuasaan bagi membendung isu pengemis dan gelandangan, khususnya di kawasan tumpuan awam sekitar pusat bandar.
“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat, keselamatan awam serta imej bandar Sandakan sentiasa terpelihara,” katanya.
MPS turut menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.
