LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah jenis syabu menerusi dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Kampung Tanjung Labian, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu dengan bantuan Balai Polis Desa Kencana.
Menurut beliau, operasi tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 39 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki syabu seberat 56.28 gram bersama peralatan berkaitan aktiviti pengedaran dadah serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM6,190.80 dan polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna ungu berserta satu set kunci kenderaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek didapati positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam serbuan kedua kira-kira jam 2.00 pagi di lokasi berasingan namun masih di kawasan sama, ACP Dzulbaharin berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui dadah disyaki syabu seberat 0.96 gram bersama peralatan menghisap dadah. Suspek turut didapati positif dadah,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah beliau, pihak polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian serta sumber bekalan dadah yang terlibat.
“IPD Lahad Datu akan terus komited dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras jenayah dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
