KOTA KINABALU – Guru yang didakwa mengunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu, pada Jumaat lalu telahpun dipindahkan ke sekolah lain.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan tersebut diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.
“Guru tersebut telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.
“Guru tersebut juga telah menggantikan tudung murid yang digunting,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tular seorang guru didakwa mengambil tindakan menggunting tudung pelajar yang dikatakan tidak labuh.
Sehubungan itu, Raisin menyeru agar guru sentiasa berhemah dalam tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Pada masa yang sama saya juga menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah.
“Semua peraturan yang dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid.
“Saya juga berharap perkara ini tidak berlaku di sekolah lain,” tegasnya. kredit sumber- Sinar Harian
