PRK Kinabatangan-Lamag semakin memasuki fasa kempen yang tegang apabila muncul tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokong politik yang cuba mengheret institusi istana ke dalam kancah persaingan pilihan raya.
Tindakan menggunakan gambar TYT Tun Musa Aman jelas mencetuskan polemik dan terlihat sangat biadap.
Ini bukan lagi soal strategi kempen tetapi menyentuh sensitiviti institusi yang seharusnya dihormati semua pihak.
Sebagai pemerhati politik, tindakan sedemikian dilihat sebagai langkah terdesak untuk mencipta persepsi dan emosi dalam kalangan pengundi.
Mengaitkan istana dengan kempen parti tertentu bukan sahaja tidak beretika malah boleh mengelirukan rakyat seolah-olah institusi tertinggi negeri memihak kepada mana mana blok politik.
Hakikatnya istana berada di atas politik kepartian dan tidak wajar dijadikan alat propaganda.
Perlu ditegaskan bahawa TYT Tun Musa Aman kini memegang kedudukan sebagai Ketua Negeri dan sudah berada dalam lingkungan institusi istana.
Apa jua cubaan mengaitkan beliau secara langsung atau tidak langsung dengan PRK Kinabatangan Lamag adalah satu bentuk manipulasi politik yang berbahaya.
Ia boleh mencemarkan prinsip berkecuali yang menjadi tunjang kestabilan sistem pemerintahan negeri.
Politik matang seharusnya berasaskan hujah dasar, rekod perkhidmatan dan tawaran masa depan kepada rakyat, bukannya mencipta naratif palsu menunggang institusi yang dihormati untuk meraih kelebihan jangka pendek.
PRK ini seharusnya menjadi medan persaingan idea dan tawaran pembangunan yang sihat,semua pihak perlu kembali kepada asas demokrasi yang matang dengan menghormati peranan istana sebagai payung negeri yang bebas daripada kepentingan politik.
Haji M.Ridzal
Pemerhati Politik
