KOTA KINABALU:
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar pada 15 hingga 16 Januari 2026, melibatkan seramai 29 pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah
Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof dalam satu kenyataan berkata,sepanjang operasi tersebut, sebanyak enam premis telah diperiksa dengan melibatkan 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga asing.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan, terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa,” katanya.
Tangkapan melibatkan 15 warganegara Filipina dan sembilan warganegara Indonesia yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.
Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berfokus bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang undang imigresen negara.
