TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai bertindak agresif dengan mengugut untuk mencederakan adik perempuannya serta menyerang abang kandung sendiri dalam kejadian di Kampung Rancangan Ranggu, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila suspek berusia 27 tahun mengamuk selepas ditegur oleh bapanya.
Menurutnya, suspek bertindak mengambil sebatang penyapu dan melibas ke arah abangnya yang berusia 41 tahun, namun tidak mengenai mangsa sebelum menumbuknya serta mengeluarkan ugutan untuk membunuh adik perempuannya.
“Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga, mangsa tampil membuat laporan polis berikutan suspek dikatakan sering mengamuk setiap kali ditegur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya sebelum dibawa ke IPD Tawau bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga dan masyarakat.
“Polis akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.
