SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal di Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 12 jam selepas laporan polis diterima.
Menurutnya, motosikal berkenaan dilaporkan hilang ketika diparkir di kawasan letak motosikal di jeti tersebut.
“Pemilik hanya menyedari kehilangan motosikalnya selepas kembali ke tempat letak kenderaan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas laporan dan maklumat awam, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum Bum telah menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek.
“Suspek ditahan bersama motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya.
Tan berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil kerjasama serta maklumat daripada orang awam yang membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak polis.
Beliau menambah, Polis Daerah Semporna akan terus mempergiatkan usaha pencegahan jenayah termasuk melibatkan harta benda, dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Orang awam boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
