PUTATAN: Sebanyak 17 buah rumah atas air di Kampung Dumpil, di sini, musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi tadi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian, kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan 20×30 kaki bagi setiap unit.
Daripada jumlah keseluruhan, 14 buah rumah musnah sepenuhnya, sebuah rumah terbakar kira-kira 50 peratus manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 22 anggota bomba dari BBP Putatan dengan bantuan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang.
Pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dan lima pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada jentera water tanker serta air terbuka dari sungai berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi, manakala operasi ditamatkan pada jam 12.51 tengah hari selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Turut membantu di lokasi kejadian ialah Sabah Electricity serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
