SANDAKAN: Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah menjalankan Ops Tapis Narkotik bagi membanteras gejala pengedaran dan penagihan dadah di sekitar kawasan Kampung Baru, Batu 8 serta Taman Mesra, Batu 4, di sini.
Dalam operasi berkenaan, pasukan polis telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan di beberapa lokasi termasuk sebuah rumah PPR di Taman Mesra, Batu 4 serta Kampung Baru, Batu 8.
Hasil serbuan tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Selain itu, BSJND IPD Sandakan turut membantu aspek dokumentasi pegawai dan anggota Balai Polis Sandakan bagi satu lagi tangkapan melibatkan seorang lelaki yang disyaki memiliki dadah jenis syabu di tepi Jalan Utara, Batu 3½, Sandakan. Kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.
Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine (syabu).
Susulan itu, kedua-duanya telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan ditempatkan di Lokap IPD Sandakan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Pelaksanaan operasi ini selaras dengan tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, dalam usaha berterusan pihak polis membanteras jenayah dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
