TAWAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan bit di hadapan sebuah bank di kawasan Fajar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau sedang menjalankan tugas rondaan sebelum menahan sebuah kenderaan yang dinaiki dua suspek terbabit.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, polis menemui satu vest pantylilan berwarna hijau bertulis ‘PDRM’ serta satu topi berlambang loreng,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah beg pinggang yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.10 gram.
“Kedua-dua suspek merupakan warganegara Malaysia berusia antara 32 hingga 43 tahun dan ditahan bagi tujuan pencegahan jenayah,” katanya.
Tambahnya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 89 Akta Polis 1967.
