PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes baharu Penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, susulan kejayaan negara membendung wabak berkenaan sejak September 1999.
KKM dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, pemantauan rapi terus dilaksanakan berikutan laporan media mengenai situasi wabak Penyakit Nipah yang berlaku di West Bengal, India, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam negara sentiasa terpelihara.
Menurut KKM, Penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang atau kelawar buah sebagai perumah semula jadi.
Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan atau individu dijangkiti, selain pengambilan makanan yang tercemar.
Antara gejala yang dikenal pasti termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, sesak nafas, sawan serta kekeliruan, yang lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari. Komplikasi serius seperti radang otak dan masalah pernafasan turut dilaporkan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.
KKM menjelaskan, Penyakit Nipah merupakan penyakit wajib lapor di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sehubungan itu, pemantauan berterusan turut dipertingkatkan melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi pendekatan One Health.
“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau hidupan liar di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, orang awam khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan agar menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit serta tidak mengambil produk makanan yang disyaki tercemar.
Individu yang mengalami gejala selepas pulang dari kawasan berisiko disaran segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
KKM turut memaklumkan bahawa kesiapsiagaan negara terus diperkukuhkan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), pengukuhan kapasiti makmal, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan serta pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC).
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko penularan rentas sempadan dan mencegah kemunculan semula Penyakit Nipah di Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.
