KUALA LUMPUR: Pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing akan dilarang sepenuhnya bermula 1 Mac 2026, susulan pewartaan peraturan baharu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan yang digubal mengikut Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara teratur dan berkesan.
Beliau berkata, penguatkuasaan larangan berkenaan akan disokong menerusi pelaksanaan aplikasi Mobile eCOSS, yang membolehkan hanya warganegara Malaysia membuat pembelian minyak masak kemasan paket bersubsidi 1 kilogram.
“Melalui sistem yang diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, pembelian hanya dibenarkan kepada warganegara. Ini sekali gus memudahkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan terhadap warga asing dengan lebih berkesan,” katanya.
Datuk Armizan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pagi ini, berhubung keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Menurut beliau, aplikasi Mobile eCOSS yang kini dalam fasa peluasan rintis dibangunkan bagi menambah baik pemantauan pengedaran minyak masak bersubsidi di peringkat pengguna akhir, melengkapkan rantaian rekod transaksi sistem eCOSS yang sebelum ini hanya direkodkan sehingga ke peringkat peruncit.
“Pembelian minyak masak paket bersubsidi 1kg oleh pengguna di peringkat runcit akan direkodkan secara digital melalui imbasan kod QR,” katanya.
Mengulas kebimbangan berkaitan capaian internet dan aspek praktikaliti, Datuk Armizan menegaskan kementerian mengambil pendekatan inklusif bagi memastikan tiada isi rumah tercicir daripada menerima bekalan bersubsidi.
Antaranya, peluasan penggunaan Mobile eCOSS dilaksanakan secara berperingkat bermula Mei 2025, dimulakan di Putrajaya melibatkan premis Program Jualan Rahmah Madani, diikuti negeri Johor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor sebelum diperluaskan ke premis terpilih di negeri lain.
Beliau berkata, pada peringkat rintis, pembelian dan perekodan transaksi secara manual masih dibenarkan, khususnya di premis yang belum mempunyai kemudahan internet, selain kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di kawasan luar bandar.
“KPDN juga akan menyediakan bantuan dan sokongan di premis jualan melalui peruncit dengan modul khas kepada warga emas dan golongan miskin yang tidak mempunyai telefon pintar atau capaian internet,” katanya.
Selain itu, sistem eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih bagi membolehkan opsyen tambahan pembelian menggunakan Kad Pengenalan, selaras dengan pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“KPDN kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan bagi merealisasikan integrasi ini,” katanya.
Datuk Armizan menegaskan pelaksanaan eCOSS dan Mobile eCOSS bukan sahaja bertujuan memperkukuh pemantauan pengedaran minyak masak bersubsidi, malah memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasar secara adil dan berkesan.
