KOTA KINABALU, 31 Januari 2026
Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bukan sekadar kerangka dasar atau janji politik, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang perlu digalas secara kolektif oleh seluruh rakyat Sabah.
Aktivis politik pro Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah berkata, pelancaran rasmi SMJ 2.0 membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri untuk memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan dan berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan wilayah lain dalam Persekutuan Malaysia.
Menurut beliau, Ketua Menteri secara konsisten menegaskan bahawa wawasan SMJ 2.0 bukan hanya terletak di bahu kepimpinan negeri, sebaliknya menuntut komitmen semua lapisan masyarakat tanpa mengira peranan dan kedudukan.
“SMJ 2.0 bukan sesuatu yang boleh dinilai sebagai janji politik semata mata. Ia adalah destinasi yang perlu dicapai bersama oleh seluruh rakyat Sabah, sama ada pemimpin, penjawat awam, ahli parti mahupun rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, halatuju SMJ 2.0 membawa amanah besar untuk menjadikan Sabah sebuah negeri maju dan berjaya dalam tempoh 2026 hingga 2030, selain berfungsi sebagai persediaan penting kepada generasi akan datang agar mampu bersaing dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
“SMJ 2.0 bukan milik Hajiji sebagai individu. Ia adalah impian dan aspirasi rakyat Sabah yang perlu dipikul bersama sebagai amanah setiap insan yang mengaku dirinya rakyat negeri ini,” katanya.
Mengulas peranan kepimpinan, beliau menegaskan kepentingan kefahaman mendalam terhadap dasar serta paksi keutamaan yang digariskan kerajaan negeri, berbanding sekadar mengulang naratif tanpa penghayatan sebenar.
Beliau turut menekankan peranan kritikal penjawat awam dalam memperkukuh tadbir urus dan tatakelola, sekali gus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih berkesan serta dapat dirasai sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, Aksyah berkata rakyat juga perlu memainkan peranan aktif melalui maklum balas berterusan serta komunikasi dua hala yang lebih berkesan berkaitan pelaksanaan, kejayaan dan penambahbaikan dasar, supaya gagasan SMJ 2.0 benar benar berakar dalam jiwa masyarakat.
“Sumbangan terbesar rakyat Sabah ialah sokongan yang berterusan. Setiap daripada kita perlu menghayati makna amanah yang dipikul agar gagasan SMJ yang kini memasuki fasa kedua dapat dijayakan bersama demi masa depan negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sedang berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah dan mendoakan agar Ketua Menteri serta barisan kepimpinan negeri dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam merealisasikan sepenuhnya halatuju SMJ 2.0.
