SEMPORNA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah menahan dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan pada 23 Januari lalu kerana disyaki memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan.
Dalam tangkapan pertama kira-kira jam 10.30 pagi, seorang lelaki ditahan oleh Pegawai Penguat Kuasa JPN Negeri Sabah di JPN Daerah Semporna. Suspek dipercayai memberikan maklumat palsu sebagai penganjur bagi permohonan kad pengenalan yang dibuat di JPN Daerah Kinabatangan pada 2 Ogos 2016.
Tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi di lokasi yang sama, melibatkan seorang lagi lelaki yang disyaki melakukan kesalahan serupa. Suspek kedua dipercayai memberikan maklumat palsu sebagai penganjur bagi permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan pada 3 April 2017.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
JPN Negeri Sabah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penipuan, pemalsuan maklumat serta penyalahgunaan prosedur pendaftaran, demi memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara.
