KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia dan Sukan serta Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkesempatan menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (DSP) Tun Musa Haji Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Lapangan Terbang Lama, Tanjung Aru, di sini, pagi tadi.
Ketibaan TYT Tun Musa dan Toh Puan Faridah adalah selepas menamatkan lawatan rasmi selama empat hari ke Kaherah, Mesir bersama rombongan.
Datuk Nizam berkata, lawatan rasmi berkenaan bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, malah memberi peluang kepada TYT Tun Musa bertemu pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di Mesir dalam satu majlis mahabbah yang diadakan di Kaherah.
“Pertemuan tersebut mencerminkan keprihatinan TYT terhadap kebajikan dan perkembangan anak-anak Sabah di luar negara,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, TYT Tun Musa dan Toh Puan Faridah turut berkesempatan menunaikan ibadah umrah bersama-sama.
Datuk Nizam turut mendoakan agar TYT Tun Musa dan Toh Puan Faridah sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menjalankan amanah serta tugasan harian sebagai Ketua Negeri.
“Semoga TYT Tun dan Toh Puan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya.
