LAHAD DATU: Seorang mangsa lumpuh berjaya dipindahkan dengan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Indah Jaya, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.45 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.50 petang dan mendapati seorang mangsa lumpuh terperangkap di dalam rumah akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Komander Operasi telah membuat penilaian awal (size up) sebelum mangsa dipindahkan menggunakan stretcher ke rumah ahli keluarga yang berada di kawasan selamat.
“Seramai 10 anggota BBP Lahad Datu terlibat dalam operasi ini dengan bantuan jentera FRT, FRV dan DMAX.
Mangsa berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya.
Tambah beliau, operasi pemindahan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.55 petang dan ditamatkan tiga minit kemudian selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada penglibatan agensi lain dalam operasi ini,” katanya.
JBPM menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada serta segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kejadian berbahaya.
