LAHAD DATU: Isu banjir kilat yang kerap melanda daerah ini semakin membimbangkan apabila memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian penduduk, termasuk kerosakan rumah, gangguan perniagaan kecil, jalan terputus serta sesi persekolahan anak-anak yang terjejas.
Situasi bertambah buruk apabila kejadian banjir terkini dilaporkan agak dahsyat, dengan beberapa kenderaan dan rumah dihanyutkan arus deras, selain penampakan kelibat buaya yang berenang di kawasan banjir, sekali gus menimbulkan kebimbangan keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Segama memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa terlibat, termasuk penyediaan pusat penempatan sementara di kawasan yang terjejas teruk bagi mengurangkan bebanan penduduk.
Namun menurut Ketua Bahagiannya, Rajesh Yusof, langkah bantuan kecemasan tersebut hanya bersifat sementara dan tidak akan menyelesaikan masalah banjir kilat secara menyeluruh sekiranya punca utama kejadian tidak ditangani dengan berkesan.
“Banjir kilat pasti akan berulang pada masa hadapan jika punca sebenar tidak dikenal pasti dan diselesaikan secara tersusun serta berasaskan fakta,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Gagasan Rakyat Segama mendesak agar satu siasatan hidrologi menyeluruh dilaksanakan bagi menilai punca sebenar banjir kilat, termasuk keupayaan sistem saliran sedia ada. Menurutnya, penilaian tersebut penting bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar tepat dan berkesan.
Dalam pada itu, beberapa langkah penyelesaian konkrit turut dicadangkan untuk dilaksanakan oleh pihak berkaitan, antaranya menaik taraf sistem saliran di kawasan berisiko tinggi termasuk pembesaran kapasiti longkang, parit dan culvert, selain pembersihan serta penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan sumbatan kelodak, sampah dan tumbuhan liar.
Cadangan lain termasuk pengawalan limpahan sungai melalui kerja mendalamkan, meluruskan atau memperkukuh tebing sungai di lokasi kritikal khususnya Sungai Segama, serta pemantauan ketat terhadap tapak pembangunan dan kerja tanah agar tidak menghalang aliran air atau meningkatkan risiko banjir.
Selain usaha pihak berkuasa, Rajesh menegaskan penglibatan masyarakat setempat juga amat penting, termasuk melalui kempen kesedaran dan penyediaan saluran aduan pantas bagi melaporkan masalah saliran di kawasan masing-masing.
“Gagasan Rakyat Segama meletakkan penyelesaian masalah banjir kilat sebagai keutamaan demi memastikan penduduk Lahad Datu dapat menikmati kehidupan yang lebih selamat, teratur dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar berganding bahu memastikan masalah banjir kilat bukan sahaja dapat dikurangkan, malah dicegah daripada terus berulang pada masa akan datang.
