Tawau, 7 Februari 2026 – Seramai 80 keluarga membabitkan 353 mangsa kebakaran di kawasan belakang SK Kampung Titingan, Batu 2 Jalan Apas menerima sumbangan bantuan tunai dan keperluan asas dalam satu majlis yang diadakan hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran berkenaan.
Turut hadir menyampaikan bantuan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, serta Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, M Azrian Syah Ali.
Majlis berkenaan diadakan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas, selain memastikan mereka menerima bantuan segera untuk keperluan harian selepas kehilangan tempat tinggal.
Kesemua mangsa kebakaran kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Kompleks Sukan Tawau, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan.
