KINARUT: Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas antara kementerian bagi menangani kebimbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berhubung penyalahgunaan pas lawatan sosial serta risiko lambakan produk asing ke dalam pasaran tempatan.
Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Februari lalu, seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi, dan akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa kementerian utama antaranya Kementerian Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah dakwaan penyalahgunaan pas lawatan sosial bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan, sekali gus menjejaskan kelangsungan PMKS tempatan.
Menurut beliau, isu itu turut berkait rapat dengan kebimbangan lambakan produk luar yang memasuki pasaran negara melalui pelbagai saluran termasuk jualan dalam talian dan import berskala besar.
“Saya mencadangkan supaya isu kebimbangan PMKS, khususnya berkaitan risiko lambakan barangan dari luar negara, dimasukkan dalam terma rujukan jawatankuasa khas ini.
“Lambakan ini bukan sahaja melibatkan barangan asing, malah turut membabitkan pelabur tempatan yang mengimport produk dari luar atas faktor kos lebih murah, sekali gus menjejaskan pasaran produk tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, ujar Armizan, Kabinet turut bersetuju supaya jawatankuasa sama meneliti secara menyeluruh risiko kemasukan produk luar ke dalam pasaran tempatan.
Tambahnya, kebimbangan tersebut merangkumi barangan yang masuk melalui platform e-dagang serta import oleh pelabur tempatan dan asing bagi kegunaan projek dan operasi perniagaan masing-masing.
Beliau menjelaskan, isu berkenaan bukan hanya melibatkan aspek pasaran semata-mata, malah turut menyentuh soal keselamatan, kualiti dan pematuhan standard produk yang memasuki negara.
“Kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh melibatkan aspek keselamatan, kualiti dan standard barangan.
“Disebabkan isu ini bersifat komprehensif dan melibatkan pelbagai kementerian, maka jawatankuasa khas ini diwujudkan bagi memastikan penyelarasan dari segi perundangan, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan,” jelasnya.
Armizan menegaskan, KPDN akan memainkan peranan penting dalam memastikan kemampanan dan kesihatan pasaran tempatan, selain mengutamakan kepentingan produk tempatan.
“KUSKOP melihat isu ini dari sudut PMKS, manakala KPDN pula menumpukan kepada aspek pasaran dan kepentingan mengutamakan barangan tempatan, yang menjadi tanggungjawab utama kami,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kinarut Palm Avenue di Papar, semalam.
